Sunday , November 19 2017

Tidak Ada Yang Pernah Betul Dengan Segelintir Rakyat Malaysia Hari Ini

Terlebih dahulu, sekalung ucapan tahniah diucapkan kepada Mohd Faiz Subri di atas kemenangan bersejarahnya untuk anugerah Puskas pada majlis Fifa Annual Award di Zurich, Switzerland. Nyata sekali, anak Melayu ini berjaya mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila menjadi warga Asia, orang Melayu dan umat Islam pertama memenangi anugerah ini.

Namun begitu, sejarah yang dicipta Mohd Faiz pada jam 2.23 minit pagi (waktu Malaysia) tidak diraikan oleh segelintir manusia hipokrit yang kerap kali mencari salah. Sebaik sahaja anak Malaysia ini menerima anugerah berkenaan dari tangan lagenda Brazil, Ronaldo, timbul cakap-cakap belakang yang kesemuanya negatif dengan apa yang dilakukan Mohd Faiz sebaik selesai melakukan ucapan.

download-14

Ada segelintir mereka mempertikaikan cara berbahasa Inggeris Mohd Faiz yang mereka sifatkan memalukan. Malah, ada yang mentertawakannya dengan alasan, betapa lemahnya rakyat Malaysia berbahasa Inggeris dengan baik. Lebih memburukkan keadaan, ada yang mendakwa, tuxedo dengan bold tie yang dikenakan Mohd Faiz ada unsur-unsur salib. Bukankah ini semua satu perkara yang cukup mengarut?

Benar, beliau dilihat agak tergagap-gagap apabila menyampaikan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Malah, jika tidak kerana teks yang sudah disediakan oleh mereka yang menemaninya di Zurich di dalam telefon bimbitnya, mungkin sahaja Mohd Faiz akan menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu.

Namun begitu, sesuatu yang harus di puji apabila beliau tetap menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris walaupun agak tergagap-gagap. Jika ada yang mendakwa Mohd Faiz memalukan dirinya di Zurich, kenapa mereka tidak mempersoalkan penyampai anugerah pemain wanita terbaik, Andriy Shevchenko, bekas pemain lagenda Ukraine berbahasa Inggeris?

Loghat bahasa yang digunakan Shevchenko agak janggal kita dengar walhal boleh dikatakan sepanjang kariernya, beliau berkelana di Itali, England dan banyak negara lagi yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan?

images-3

Pernahkah kelompok busuk hati ini berfikir, bagaimana pula segelintir rakyat Malaysia yang lahir, bersekolah, meningkat dewasa dan mati di Malaysia tetapi apabila berbahasa Melayu, mereka jelas janggal? Bukankah itu jauh lebih pelik kerana Malaysia meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara?

Menyentuh tentang pemakaian, benar, pada asalnya, Mohd Faiz berhajat untuk mengenakan persalinan Melayu di Zurich. Namun dengan cuaca yang ada ketikanya mencecah negatif 13 darjah selsius, mana mungkin beliau mampu berbusana demikian? Bayangkan, Mohd Faiz dan rombongannya berbusana Melayu tetapi mengenakan kot tebal bagi memanaskan diri, bukankah ia suatu perkara yang pelik?

Dakwaan yang mengatakan Mohd Faiz mengenakan tuxedo dan bold tie berbentuk salib juga sebenarnya satu dakwaan yang cukup bodoh. Apabila gambar diambil pada sisi hadapan, mikrofon yang ada dihadapannya pasti akan menjadi seperti imej salib. Mohd Faiz bukan terlalu naif dalam berpakaian sehingga boleh timbul dakwaan sebodoh ini.

Secara amnya, tidak akan ada perkara yang dapat memuaskan hati semua pihak. Pasti ada kelompok yang gilakan perhatian akan mencipta sesuatu yang tiada untuk disensasikan. Ianya boleh dianggap sebagai pesakit mental yang gilakan glamor segera atau sememangnya, hati kelompok ini sudah hitam. Agak menyedihkan, kelompok ini boleh hidup di sebuah negara yang pesat membangun seperti Malaysia.

Check Also

Malaysia Akan Hilang Kestabilan Sekiranya Pakatan Harapan Memerintah

Pengerusi Pakatan Harapan, Mahathir Mohamad telah menjadikan kejadian kekecohan pada program Nothing To Hide 2.0 ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *