Saturday , December 16 2017
Ketua Pengarah JIM menunjukkan barangan yang ditemui bersama penangkapan 'The Professor'.

‘THE PROFESSOR’ DALANG PEMALSUAN DOKUMEN DITANGKAP

PUTRAJAYA: Hasil maklumat risikan, pada 13 Ogos 2017 lebih kurang 1:30 pagi, sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas Dan Analisa dan dibantu oleh pegawai dari Bahagian Operasi, Siasatan Dan Pendakwaan Ibupejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya telah membuat satu serbuan ke atas sebuah premis kediaman yang terletak di Ampang, Selangor. Premis tersebut dipercayai dijadikan sebagai makmal untuk memproses pelbagai dokumen palsu.

Peralatan yang digunakan oleh ‘The Professor’.

JIM telah menahan dan membuat pemeriksaan terhadap professor. Pasukan telah menemui satu (01) pelekat PLKS dan dua (02) kad Pendaftaran Personel Binaan (CIDB) yang disyaki palsu. Berdasarkan kepada tangkapan dan penemuan serta hasil soal siasat lanjutan yang dijalankan terhadap sabjek telah membawa kepada serbuan di sebuah premis kediaman di Ampang, Selangor.

Dalam serbuan tersebut, pasukan telah berjaya menahan seorang lagi lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki orang kanan Professor. Orang kanan Professor ini berperanan sebagai kurier bagi menghantar dokumen-dokumen palsu yang telah siap untuk diserahkan kepada pelanggan dan juga membantu mencetak pelbagai dokumen yang dipalsukan.

Paspot yang ditemui.

Hasil pemeriksaan di dalam premis tersebut telah menjumpai;

a: 229 pelekat (stiker) pelbagai jenis iaitu Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Penggajian, Pas Pelajar serta Pas Lawatan Sosial yang disyaki palsu.
b: 23 pelekat Visa Malaysia yang disyaki palsu.
c: 196 kad CIDB disyaki palsu.
d: 15 E-Kad disyaki palsu.
e: 06 I-Kad disyaki palsu.
f: 13 Paspot Bangladesh yang disyaki palsu.
g: 04 unit printer.
h: 02 unit scanner.
i: 01 unit alat pencetak kad yang dianggarkan bernilai Ringgit Malaysia lapan ribu ringgit (RM 8,000.00).
j: 01 set komputer.
k: 03 unit komputer riba.
l: 13 cop palsu kedutaan Bangladesh.
m: 28 set laminating film.
n: 16 kulit paspot Bangladesh.
o: 01 unit die cut (penebuk pelekat).
p: 1400 kad kosong (belum dicetak).
r: 01 unit pemotong kertas dan;
s: Wang tunai berjumlah Ringgit Malaysia sebelas ribu empat ratus lapan puluh ringgit (RM11,480.00) yang disimpan di dalam dua buah bilik.

Wang tunai RM11,480.00.

Hasil siasatan mendapati sabjek telah menjalankan aktiviti ini sejak setahun yang lalu dan telah mengaut keuntungan dianggarkan sekitar RM 50,000.00 hingga 70,000.00 sebulan. Modus operandi suspek adalah dengan menggunakan aplikasi VIBER. Pelanggan hanya perlu menghantar salinan pasport dan gambar melalui aplikasi tersebut.

Proses untuk membuat satu E-Kad palsu hanya mengambil masa selama 5 minit. Untuk membuat pasport palsu pula adalah selama 2 jam.

Pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sudah siap untuk dihantar kepada pelanggan.

Setelah E-Kad atau pasport tersebut siap, serahan akan dibuat mengikut tempat dan masa yang ditentukan oleh sabjek. Kebiasaannya serahan dibuat di stesen-stesen LRT sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Kebanyakkan pelanggan sabjek terdiri daripada warga negara Bangladesh, Myanmar, Nepal dan India.

‘The Professor’ akan didakwa di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(a) Akta Paspot. Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM 10,000 atau penjara tidak lebih daripada 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

JIM percaya, sindiket ini telah lama menjalankan kegiatan ini berdasarkan kepada peralatan-peralatan yang ditemui di dalam premis kediaman yang diperiksa.

Kad CIDB, E-Kad & I-Kad.

Pada bulan Mac 2017 pihak jabatan juga telah berjaya menumpaskan satu rangkaian sindiket terbesar yang menjalankan aktiviti yang sama di sekitar Kuala Lumpur. JIM akan terus memburu sindiket-sindiket lain yang terlibat secara langsung atau tidak bagi membendung kegiatan ini dari terus berlaku sehingga boleh menjatuhkan martabat Jabatan dan kedaulatan negara.

Majikan juga diingatkan agar memastikan segala dukumentasi pekerja asing mereka adalah yang asli dan tidak terlibat atau pun berurusan dengan mana-mana sindiket pemalsuan dokumen Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Tindakan akan diambil terhadap mana-mana majikan yang tidak mengendahkan peringatan ini.

 

Check Also

MAJIKAN BERDEGIL MENGGAJI PATI DIBURU

PUTRAJAYA: Tempoh pendaftaran Program E-kad telah tamat pada 30 Jun 2017. Bermula pada 1 Julai ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *