Tuesday , October 17 2017
Olive oil

MEMILIH MINYAK MASAK YANG BAIK

Minyak masak menjadi satu kemestian apabila hendak memasak apa saja makanan terutama makanan yang digoreng. Hari ini terdapat pelbagai pilihan minyak masakan yang boleh didapati baik di kedai-kedai runcit mahupun pasaraya.

Minyak masak boleh dihasilkan dari berbagai sumber seperti kelapa, kelapa sawit, jagung, soya, kacang dan bermacam lagi. Harganya pula berbeza-beza dan warna juga agak berlainan di antara satu jenis dengan jenis yang lain.

Ada yang warnanya lebih pekat atau gelap, ada pula yang warnanya kekuningan dan hampir jernih. Warna ini tidaklah menunjukkan kualiti minyak itu sendiri.

Tetapi tahukah anda apa perbezaan di antara minyak masak yang dihasilkan dari sumber-sumber yang pelbagai ini? Bagaimana untuk memilih minyak yang terbaik di antara semua jenis minyak ini.

Sebenarnya jenis-jenis minyak masak ini ada yang boleh memberi faedah kepada manusia dan sudah tentu juga yang membahayakan. Antara minyak masak yang baik untuk kesihatan ialah minyak zaitun (olive oil), minyak bunga matahari, minyak kacang soya, minyak jagung, minyak dedak padi, minyak flaxseed dan lain-lain.

Minyak kelapa sawit sebenarnya kurang berkhasiat kerana kandungan lemak tepunya adalah tinggi.

Lemak Tak Tepu, Lemak Trans & Lemak Tepu

Untuk memilih minyak masak yang baik, anda perlu membelek label nutrisi pada botolnya. Perhatikan komposisi terpenting lemak yang tersenarai seperti di bawah:

1. Lemak trans (pastikan perkataan ini tidak disenaraikan).
2. Lemak tepu atau saturated fat (lemak tidak baik).
3. Lemak tak tepu atau unsaturated fat (lemak baik).
4. Lemak poli tidak tepu polyunsaturated fat (lemak baik).
5. Lemak mono tidak tepu atau mono unsaturated fat (lemak baik).

Biasanya pengusaha akan membahagikan komposisi di atas mengikut sukatan tertentu iaitu menyatakan sukatan setiap 100gram. Pengguna perlu cekap dan bijak membuat pengiraan kerana sebotol bersaiz 2 liter akan mengandungi kira-kira 1,500gram minyak masak.

Sebagai contoh, jika setiap 100gram mengandungi 45gram lemak tepu, bererti lemak tepunya hampir separuh dari jumlah kandungan botol tersebut dan minyak ini memang boleh mendatangkan masalah kesihatan dalam jangka panjang.

Minyak yang baik biasanya mengandungi lemak tepu yang rendah, dari 0 hingga 14gram lemak tepu dalam setiap 100gram.
Minyak zaitun adalah minyak masak yang terbaik kerana kandungan lemak tepunya hampir tiada dan lemak tak tepu adalah tinggi sehingga mencapai 85gram dalam setiap 100gram.

Lemak tepu adalah merbahaya kerana ia tinggi kandungan kolesterol LDL (Low Density Lipoprotein), fungsinya mengangkut kolesterol dari organ hati ke arteri dan pengumpulan kolesterol dalam arteri boleh menyebabkan arteri tersumbat membawa kepada serangan jantung.

Pastikan juga lemak trans TIDAK TERSENARAI dalam komposisi lemak. Lemak trans lebih merbahayakan kesihatan kerana boleh membawa serangan jantung dan penyakit kanser.

Sebagai contoh, saya berikan 2 komposisi lemak yang saya dapati dari 2 botol minyak masak yang berlainan jenis:

Minyak Masak Jenama X:
Komposisi Jumlah Lemak: 14g
Tepu: 6.2g
Trans: 0g
Politaktepu: 1.7g
Monotaktepu: 6.1g

Minyak Masak Jenama Y:
Komposisi Jumlah Lemak: 13g
Tepu: 2.1g
Politaktepu: 4.6g
Monotaktepu: 6.3g

Minyak masak jenama manakah yg sepatutnya anda pilih untuk kebaikan kesihatan anda?

Saya tentu akan memilih jenama Y. Alasannya seperti berikut:

Pilihlah jumlah kandungan lemak tak tepu 2 kali LEBIH dari jumlah lemak tepu
dan tiada lemak trans. Jika lemak trans disenaraikan sebagai 0 gram, bererti minyak masak tersebut masih mengandungi lemak trans, kerana dalam komposisi 14 gram kuantitinya hampir tidak dapat dikesan – pengusaha akan meletakkan angka 0.

Tetapi jika diambil sukatan dalam komposisi 2 atau 3 liter, sudah tentu anda akan mendapati bacaannya dalam unit gram.

Dalam kes di atas, minyak masak X adalah minyak kelapa sawit dan minyak masak Y adalah minyak dedak padi (rice bran oil). Saya akan memilih minyak dedak padi kerana kandungan lemak tepunya rendah dan lemak trans tidak tersenarai.

Minyak masak kegemaran saya ialah minyak dari bunga matahari atau sunflower oil(gambar). Warnanya sangat jernih dan tiada bau hanyir apabila memasak menggunakan minyak jenis ini. Di samping itu, ia sangat cair pada suhu bilik, tidak seperti minyak kelapa sawit yang sangat likat.

Selain itu, minyak bunga matahari dan minyak dedak padi juga tidak merosakkan rasa masakan. Jangan dengar saranan oleh chef-chef masakan di TV kerana mereka dibayar untuk mempromosikan jenama minyak masak tertentu.

Tidak dinafikan minyak zaitun harganya begitu tinggi. Tetapi jika anda fikir semua minyak yang baik harganya mahal, jangan terkejut kerana saya boleh dapati sebotol minyak bunga matahari 3 liter dengan harga lebih murah dari minyak kelapa sawit.

Asalkan anda rajin memerhati di rak-rak pasaraya anda akan terjumpa minyak masak yang berkualiti dengan harga yang tidak dijangka. In Shaa Allah…!

Lain-lain jenis minyak masak seperti minyak cap Bunga Raya, Cap Buruh yang tinggi kandungan tepu dan mengandungi lemak trans sepatutnya dilupuskan, bukan untuk dibotolkan dan dijual.

Jangan mudah terpedaya dengan dakwaan “Tanpa Kolesterol” pada label botol tersebut kerana perkataan “Kolesterol” adalah subjektif. Ada kolesterol yang baik dan ada kolesterol yang tidak baik.

Sebagai contoh, semata-mata kerana minyak masak jenama X mengandungi 6.2 gram lemak tepu dan 7.7 gram lemak tak tepu (lemak tepu kurang dari lemak tak tepu), pengusaha dengan mudahnya mendakwa ia tanpa kolesterol.

Malangnya, minyak jenis ini digunakan oleh restoran-restoran, penjaja dan penebar roti canai untuk menjimatkan kos.

Sumber: http://mystery3s.blogspot.my/2009/07/memilih-minyak-masak-yang-baik.html?m=1

Check Also

INFO: BAIK & BURUK MINYAK MASAK

Beberapa teman di laman sosial Facebook mengeluh mengenai kesukaran mendapatkan minyak masak di pasaran sejak ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *