Tuesday , October 17 2017

KONSEP PELAKSANAAN BR1M DI MALAYSIA

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan satu bentuk bantuan sosial yang diperkenal oleh kerajaan Malaysia kepada kumpulan sasar yang telah dikenal pasti. Ia bermula pada tahun 2012 dan diuruskan oleh pelbagai agensi yang dipantau oleh kerajaan. Selain dianggap sebagai usaha kebajikan sosial, BR1M juga dilihat sebagai senjata politik Barisan Nasional dalam pilihan raya 2013 yang lalu. Kejayaan BR1M ialah mengekalkan kuasa politik Barisan Nasional di Putrajaya dan melumpuhkan kemaraan Pakatan Rakyat di Kedah dan Perak.

Konsep BR1M
BR1M adalah inisiatif di bawah jaminan sosial iaitu satu bentuk dasar sosial untuk mengatasi kemiskinan dan ketempangan sosial dalam masyarakat. Jaminan sosial dilaksanakan dalam pelbagai bentuk seperti sokongan pendapatan dan dasar cukai serta pemeliharaan pendapatan (taxation and income maintenance policy). Namun jaminan sosial ini selalunya meliputi pelbagai aspek perkhidmatan sosial seperti rawatan kesihatan dan pendidikan. Terdapat dua jenis jaminan sosial iaitu berbentuk sokongan pendapatan (in-cash) dan sokongan barangan atau sokongan sosial (in-kind).

Maksud jaminan sosial ialah usaha membebaskan masyarakat daripada kesusahan. Secara khusus, jaminan sosial didefinisikan sebagai sistem pemberian wang dan/atau perkhidmatan sosial untuk melindungi seseorang daripada risiko tidak memiliki atau kehilangan pendapatan disebabkan kemalangan, kecacatan, sakit, menganggur, usia tua dan kematian.

BR1M merupakan satu bentuk jaminan sosial adalah komitmen kerajaan untuk mewujudkan keadilan sosial melalui mekanisme pemindahan pendapatan atau agihan semula pendapatan (income transfer or redistributive income). Ia dilaksanakan dibawah kelolaan agensi khusus seperti kementerian atau jabatan.

Alasan kukuh pelaksanaan BR1M ialah melindungi kelompok tertentu dalam negara daripada menghadapi kesusahan hidup kesan daripada risiko yang tidak diduga seperti kenaikan harga barang secara mendadak kerana kemerosotan ekonomi dunia. BR1M bukannya satu bentuk pemberian awam yang sia-sia malah satu pelaburan sosial yang menguntungkan pada jangka masa panjang jika didasari dua prinsip iaitu agihan semula pendapatan dan kesatuan sosial. Dua prinsip ini menjelaskan fungsi mekanisme jaminan sosial seperti BR1M ini.

Contohnya ialah menerangkan peredaran wang pemberian oleh kerajaan kepada penerima hingga wujud mekanisme saling melindungi untuk meningkatkan kualiti hidup. Redistribusi atau agihan semula pendapatan dibahagikan kepada bentuk vertikal dan horizontal.

Vertikal ialah pemindahan wang daripada orang kaya kepada orang miskin. Dalam maksud yang lebih mendalam, bentuk pemindahan ini ialah dokongan masyarakat yang lebih kuat kepada kelompok masyarakat yang lemah, khususnya dalam aspek ekonomi.

Horizontal ialah pemindahan wang antara kelompok seperti laki-laki kepada perempuan, dewasa kepada orang tua atau dewasa kepada remaja dan sebagainya. Contoh lain ialah kelompok sihat kepada orang sakit atau yang bekerja kepada golongan pencen dan bersara.

Kesatuan sosial mempunyai pendekatan yang berbeza kerana dilaksanakan atas dasar saling memberi keuntungan kerana sifatnya yang kolektif. Saling menguntungkan bermaksud angota masyarakat bersetuju berkongsi risiko dan tanggungjawab menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan. Manakala kolektif merujuk kepada usaha kesejahteraan sosial merupakan tanggungjawab semua anggota dalam masyarakat atau negara.

Mekanisme Bantuan Sosial
Bantuan sosial adalah jaminan sosial yang umumnya diberikan kepada golongan lemah dalam masyarakat. BR1M yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia memenuhi ciri-ciri umum iaitu pendapatan di bawah paras tertentu, bersifat kolektif dan universal iaitu setiap warganegara yang layak tetapi khusus, berbentuk in-cash dan disenggara oleh kerajaan sendiri.

Kelebihan bantuan sosial ialah menjangkau pelbagai kelompok sasar dan dapat memenuhi keperluan yang khusus. Bantuan tunai daripada BR1M dapat digunakan untuk kepentingan khusus penerima seperti persediaan anak-anak ke sekolah, meringankan beban kewangan warga emas dan penuhi keperluan harian golongan miskin dalam tempoh tertentu.

Sebaliknya kelemahan bantuan sosial seperti BR1M ini amat ketara iaitu kecenderungan menimbulkan sikap terlalu bergantung kepada kerajaan. Di samping itu, kaedah menetapkan syarat-syarat tertentu seperti pendapatan isi rumah membataskan kumpulan sasar untuk menerima bantuan ini walaupun sesetengah kes masih layak menerimanya. Justeru, kriteria penerima bantuan bergantung pada pendapatan keluarga.

Kesimpulan
Pelaksanaan bantuan sosial seperti BR1M di Malaysia dapat menjadi asas kepada kesejahteraan sosial dalam tempoh yang singkat kerana kelompok sasar berupaya menghadapi kesulitan hidup dalam tempoh sementara.

Namun, dalam jangka masa lebih panjang, bantuan sosial dalam bentuk in-kind adalah lebih sesuai supaya kelompok sasar dapat berdikari sendiri dan berupaya memperkasa keluarga sendiri.

Pelaburan sosial dalam bentuk pendidikan boleh menggalakkan kelompok sasar lebih cepat mengubah kehidupan mereka walaupun tempoh untuk melihat perubahan tersebut mungkin mengambil masa.

Sumber: Zahir Zainuddin
[http://zahirzainudin.blogspot.my/2014/02/konsep-pelaksanaan-br1m-di-malaysia.html?m=1]

Check Also

10 FAKTOR GAGALNYA PERNIAGAAN

Banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar hanya beberapa tahun selepas dimulakan. Lebih buruk, ada perniagaan ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *