Tuesday , October 17 2017

FIQH TABAYYUN MENDEPANI FITNAH LIBERALISME

Penelitian di media sosial kebelakangan ini amat membimbangkan. Komen mahupun pendapat fahaman liberalisme ekstrem dikesan di Facebook, Twitter, blog, laman sesawang dan sebagainya, tersebar luas.

Lebih memeranjatkan, segelintir tokoh Islam memberi pandangan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan di negara ini.

Hari ini, fahaman liberal ekstrem dan prokebebasan seolah-olah mutlak dan total, bercakap mengenai ‘kebebasan media’ dan ‘kebebasan bersuara’, berlandaskan idea kebebasan tanpa batasan akhlak, sempadan undang-undang dan peraturan.

Di Malaysia, gerakan liberal tidak mempunyai kumpulan khas yang menggunakan nama Islam liberal, namun ada individu tertentu menyuarakan persamaan agama, hak lelaki dan wanita di samping mempromosi demokrasi dan kebebasan. Pandangan sebegini adalah fitnah kepada agama Islam berdasar fahaman ekstrem liberal.

Menurut kajian TNS Global, 66% pengguna internet di Malaysia mengakses aplikasi media sosial setiap hari. Daripada 20.1 juta pengguna internet, 59% berusia 30 tahun ke bawah.

Kajian ‘We are social’ September 2016, meletak kedudukan Malaysia di tangga keempat aktif media sosial di Asia Pasifik. Statistik dipaparkan sangat merisaukan jika tidak ditangani dengan baik.

Pengguna media sosial kebanyakannya generasi muda yang perlu diberi kesedaran untuk bertanggungjawab menerima, menilai serta bertabayyun (mengkaji) kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.

Ragui al-Quran dan al-Sunnah Antara pandangan liberal ekstrem di media sosial adalah meragui al-Quran dan al-Sunnah.

Seorang penulis dikenali memuat naik status di akaun Facebook peribadi beliau yang bertentangan dengan ajaran Islam, menyatakan:

“Islam yang saya percaya membebaskan manusia untuk memilih apa juga kepercayaan yang ingin dianuti, Quran sendiri memesan bahawa (mafhum) jika Allah mahu seluruh penduduk di langit dan di bumi beriman, siapakah yang mahu menghalangnya?

Tetapi, Allah telah memberikan pilihan (free choice, bukan free will) kepada manusia itu sendiri, sama ada untuk menjadi kafir atau iman, memilih untuk syurga atau neraka.”

Ada penulis lain memberi pandangan perlu penilaian semula hadis bercanggah dengan sains, sejarah dan akal, malah mempertikai hadis diriwayatkan sahabat. Kedua, mempersoal akidah. Satu tweet berbunyi:

“Aku pun tak faham kenapa orang kita nak bising sangat perihal Melayu yang mahu murtad, aku tak cakap pasal kebebasan tengah hari buta ini. Bagi aku syurga bukan untuk Melayu sahaja, kalau Melayu nak masuk neraka sangat buat apa kita nak halang? Kalau semua orang nak masuk syurga, neraka nanti nak bakar siapa? Rugi sahaja Allah cipta neraka, tapi tak ada apa-apa untuk dibakar.”

Ketiga, pandangan yang mengelirukan. Beberapa status mengelirukan dimuat naik di Twitter, antaranya:

“Berkenaan babi, siapa cipta babi? Tuhan atau manusia? Kau yang cipta, kemudian haramkan.. Berkenaan seks bebas pula, yang mencipta rangsangan semua ini Tuhan juga. Kalau tak nak orang buat seks bebas tak payahlah cipta manusia. Nak buat apa?”

“Saya tidak kisah pemimpin saya LGBT, tak ada agama atau sosial, yang penting, dia laksana (tugas untuk) rakyat dan negara serta tidak salahguna kuasa. Dah tidak wajib solat Jumaat zaman ini kiranya kita berimamkan imam yang reda dan kagum dengan kezaliman pemerintah.”

Keempat, pandangan tidak patuh syariah. Satu kumpulan memperjuangkan isu hak asasi wanita dan feminiti menyatakan: Faith by compulsion may lead to hypocrisy dan Islam is not a one-way street.

Kelima, mempersoal institusi ulama. Satu pandangan berbunyi:

“Ulama sebagai saintis seperti ditakrifkan dalam al-Quran dan sebagai satu kasta paderi,”

Keenam, mencanang isu bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan di negara ini, antaranya ‘mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)’.

Dicadang kesalahan khalwat dimansuhkan kerana (menurut mereka) melanggar hak privasi individu, malah (menurut mereka) khalwat di rumah persendirian adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah SWT kecuali jika dilakukan di kawasan awam serta menggesa penubuhan jawatankuasa perunding untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.

Pandangan sebegini adalah senget dan tidak wasatiyyah. Masyarakat disogok fitnah yang tiada penghujung. Kesucian agama dipersenda. Umat Islam perlu ambil berat keperluan prinsip fiqh tabayyun.

Jangan kerana berada di zon selesa, masyarakat taksub dengan indeks World Press Freedom sehingga menjual kelangsungan dan survival ummah.

Jangan terlalu bersangka baik kepada newsrooms di London, New York, Hong Kong atau mana sahaja. Teliti kebenaran Umat Islam perlu ada kudrat tabayyun luar biasa di persimpangan zaman maklumat ini.

Masyarakat perlu diajak bertabayyun meneliti kebenaran. Jika prinsip ini ditinggalkan, akan bertebaranlah fitnah yang mampu pengaruhi fikrah serta pemikiran majoriti umat Islam, lalu dianggap benar dan sahih.

Perlu akui, bukan mudah membadai arus ketika keadaan langit sudah serba terbuka. Media sosial terbina dengan sokongan penggunanya. Produk, ideologi dan segala macam ‘nilai’ sama ada baik atau tidak baik, dilambakkan.

Keimanan, akal budi, akhlak dan sahsiah diri diuji sepenuhnya. Kerajaan hari ini di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak dilihat berani mendepani keterbukaan media sosial. Rakyat diberi ‘suara’ sampaikan pandangan. Jiwa besar, istiqamah dan kesungguhan kerajaan meruntuh tembok dan merapat jurang antara rakyat dan pemimpin.

Oleh itu, pengamal media, soldadu siber serta masyarakat Islam perlu terima fiqh tabayyun sebagai model kepada penghayatan media positif dan bertanggungjawab. Jangan hanya ‘menang sorak’ di alam maya, tetapi menggadai prinsip kebenaran atas nama keterbukaan dan kepentingan peribadi sekumpulan kecil.

Kemampuan bertabayyun dengan maklumat, akan menentukan kekuatan dan keabsahan ummah dalam era digital. Semua pihak perlu gerakkan fiqh tabayyun sebagai disiplin ilmu dalam berurusan dengan fakta dan kebenaran.

Inilah penggerak utama manhaj wasatiyyah dalam mengajak masyarakat bertabayyun, iaitu berhati-hati dan berteliti dengan media sosial. Ia perlu diagendakan sebagai dakwah.

Check Also

10 FAKTOR GAGALNYA PERNIAGAAN

Banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar hanya beberapa tahun selepas dimulakan. Lebih buruk, ada perniagaan ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *