Tuesday , April 24 2018

3,071 ORANG DITAHAN IMIGRESEN DALAM OPS MEGA E-KAD

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus komited dalam melancarkan Operasi Penguatkuasaan secara besar-besaran bagi memburu majikan dan PATI yang ingkar terhadap perundangan negara bagi memastikan kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan negara terjamin. Operasi penguatkuasaan ini akan dijalankan secara berterusan tanpa henti dalam memutuskan rantaian kesalahan, termasuk bersama agensi penguatkuasa yang lain dan tindakan tegas akan dikenakan kepada majikan serta PATI yang ditangkap dalam operasi ini.

Sepanjang tempoh bermula 1 Julai 2017 sehingga 8 pagi 10 Julai 2017 JIM telah mengadakan sebanyak 502 Operasi Penguatkuasaan di seluruh negara dan sebanyak 3,071 orang ditahan Imigresen dalam ‘Ops Mega E-Kad’. Seramai 9,320 orang telah berjaya diperiksa dan hasilnya seramai 3,014 PATI dari pelbagai warganegara telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

Selain itu 57 majikan turut ditahan dan 180 orang diberi notis untuk hadir memberi keterangan sepanjang tempoh ini.

Daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, warga Bangladesh telah mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 1,160 orang, diikuti oleh warga Indonesia seramai 695 orang, Myanmar seramai 231 orang, Vietnam seramai 116 orang, Thailand seramai 111 orang, Filipina seramai 95 orang dan bakinya adalah dari negara-negara lain. Seramai 2,429 orang merupakan PATI lelaki, 570 orang PATI perempuan dan 15 orang PATI kanak-kanak.

Majikan yang dikesan menggaji PATI boleh diambil tindakan perundangan di bawah Akta Imigresen 1959/63 di mana majikan didakwa di bawah empat kesalahan utama iaitu di bawah Seksyen 55A untuk membawa masuk PATI secara tidak sah ke dalam negara, Seksyen 55B untuk menggaji PATI, Seksyen 55E untuk membenarkan PATI masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 56 (1) (d) untuk kesalahan melindungi PATI.

Selain itu, majikan juga boleh didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran 2007(Pindaan 2010)(ATIP SOM) jika terdapat elemen-elemen paksaan atau eksploitasi pekerja. Semenjak tamatnya program pendaftaran e-Kad, 57 orang majikan telah ditangkap dan ada yang telah didakwa di Mahkamah.

JIM telah memberikan tempoh yang secukupnya bagi majikan mendaftarkan pekerja mereka dari golongan PATI. Namun kesempatan ini tidak diambil sepenuhnya oleh sesetengah majikan. Oleh itu mereka bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang jika dikesan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan ini.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk tampil kepada pihak JIM jika mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan dipohon supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut.

Jabatan Imigresen memandang serius isu kebanjiran pekerja asing di negara ini kerana ia melibatkan isu keselamatan, kesihatan malah kedaulatan negara.

Check Also

Malaysia Akan Hilang Kestabilan Sekiranya Pakatan Harapan Memerintah

Pengerusi Pakatan Harapan, Mahathir Mohamad telah menjadikan kejadian kekecohan pada program Nothing To Hide 2.0 ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *